Lovely Friend

Wednesday, 31 August 2011

Bebas Daripada Belenggu Luar

JIKA semua pihak tanpa mengira ideologi politik meneruskan perjuangan dalam diri untuk mencari kebaikan, maka inilah masa terbaik.

Yakni, hari baik dan bulan baik ini (Hari Raya Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan) bagi mendapat manfaat yang rakyat Malaysia megahkan.

Itu adalah analogi yang diungkapkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengambil kira sambutan Aidilfiri dan Kemerdekaan yang hampir serentak kali ini.

"Sebabnya, merdeka kali ini jatuh pada hari raya, sama ada 30 atau 31 Ogos (2011), kita anggap ini hari besar di negara.

"Kita ingin kita melihat nanti semasa Yang di-Pertuan Agong membuat rumah terbukanya di Istana Negara pada hari pertama raya pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari nanti, kita semua bersalam-salaman.

"Bila rakyat pergi ke istana, (pemimpin dan pengikut) Pas juga pergi, begitu juga UMNO, DAP pergi dan demikian yang sama PKR...jika tak mahu bersalaman di rumah terbuka Perdana Menteri (juga hari raya pertama), kita bersalam di rumah terbuka Yang di-Pertuan Agong," kata beliau pada pertemuan dengan Utusan Malaysia di Bangunan Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi Rais, pengertian merdeka perlu mencakupi semua aspek semasa. Beliau tidak menolak bahawa setiap pemimpin ada celanya.

"Setiap pemimpin ada juga baiknya tetapi dakwa mereka kononnya mengikut trend sekarang semua pemimpin yang memerintah dan mentadbir, semuanya tak baik, ini satu pendustaan.

"Dalam hal ini, saya nak menyeru kepada rakan-rakan dalam Pas, DAP dan PKR supaya hentikan (penyebaran) fitnah, ambil markah sebenar yang telah ditimbulkan oleh perjuangan yang ikhlas dan sambil menghirup udara BN (Barisan Nasional) sekarang, katakan memang ada kelemahan tetapi (hakikatnya) lebih banyak kebaikan," kata beliau.

Tanpa menggunakan kayu pengukur mengikut sentimen politik, beliau mahu mengungkapkannya begini:

"Memfitnah lebih teruk daripada membunuh', orang Pas semuanya tahu pasal benda ni, tetapi masih tetap mengenakan fitnah hari demi hari.

"Jadi, rakan-rakan kami dari UMNO, seterusnya seperti anak buah generasi baru, mereka juga tidak tahan (difitnah), jadi sudah bertembung satu bangsa satu agama tentang perkara yang tidak seharusnya timbul.

"Sebagai orang lama, saya nak seru balik, hal ini survival orang Melayu, jika orang Pas kata mereka tidak sayang Melayu, saya cabar mereka dari segi perkara sebenar iaitu budaya, agama serta siapa mereka ini," kata beliau.

Rais menarik perhatian bahawa pencorakan perjuangan politik seseorang banyak berasaskan kepada pendidikan yang diterimanya. Tetapi bukan 100 peratus. Kini dengan transformasi yang sedang dijalankan kerajaan, ia mesti diterima sebahagian rancangan tersebut.

"Setakat mana kita menilai kesusahan masyarakat di luar sangkar politik.

"Kita nak tentukan apa pun parti politik, golongan yang susah perlu dibantu dan bukan disebabkan ia anggota parti. Pendidikan membina masyarakat mesti bermula satu ketika dan ini harus diterima sebagai satu hakikat," katanya.

Rais yang berpengalaman bekerja di bawah lima Perdana Menteri turut mengimbas kenangannya bersama kepimpinan berkenaan.

"Di bawah Allahyarham Tun Hussein Onn, saya sendiri belajar dari segi ketegasan pemimpin, walaupun mengambil masa untuk menjadi tegas tetapi apabila sudah membuat keputusan ia tidak berganjak,'' katanya.

Tun Abdul Razak pula dicontohi kerana cara Allahyarham menyayangi masyarakat luar bandar. Perdana Menteri kedua itu menjaga kehidupan yang sistematik dalam perancangan tanah tanih.

"Selain menjadi bapa pembangunan, beliau merupakan strategis yang amat tajam pemikirannya dan hasilnya, penubuhan BN pada 1974.

"Di bawah Tunku Abdul Rahman pula, walaupun saya tidak bertugas secara langsung bersama beliau namun saya pernah berjuang bersamanya apabila beliau menjadi tamu kepada menteri luar.

"Semasa itu saya bertugas sebagai menteri luar pada tahun 1986-87 dan daripada Tunku, kita pelajari diplomasi melalui pakaian, kita belajar sifat tolak ansur, dan keikhlasan berhubung antara kaum menjadi aset kepimpinan," katanya.

Di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir pula, kata Rais, beliau belajar sebagai orang yang mengenal tentang kedaulatan malaysia dan bangsa Malaysia.

Kata Rais: "Jadi, beliau dengan wawasan 2020 nya mencerminkan Malaysia jendela negara membangun yang mesti kita hargai.

"Tun Dr. Mahathir merupakan obor moden Malaysia dan membawa pembangunan. Kepadanya, kemerdekaan adalah pengisian minda untuk bebas berfikir."

Bercerita mengenai Tun Abdullah Ahmad Badawi pula, Rais memberitahu, Abdullah yang lebih dikenali Pak Lah pernah menjadi pegawainya yang mana akhirnya Perdana Menteri kelima itu pula menjadi ketuanya. Bagi Rais, Pak Lah adalah diplomat yang tinggi nilai, mempunyai hemah yang murni dan pencipta Islam Hadhari.

"Tetapi sayangnya, beliau tidak sempat menjelmakan kepada amalan kerana Islam hadhari dilihat sebagai dasar yang belum masak diletakkan. Jadi, agak kecewa namun sifat muhibbah dan kepimpinannya dari segi menjelmakan idea, beliau akan diingati," katanya.

Kepada kepimpinan sekarang, Rais melihat Najib sebagai inovator.

Najib, katanya, mengabungkan kebolehan ayahandanya dengan apa yang dipelajari semasa di bawah Tun Dr. Mahathir, transformasi yang dibawanya menerusi Gagasan 1Malaysia yang sebenarnya ialah binaan negara bangsa yang seharusnya dinilai dari segi pencapaian sebenar.

"Jadi, ia bererti terlalu awal bagi seseorang mengkritiknya sekarang sehingga sepatutnya beliau dapat menghasilkan semua konsep yang dimaksudkan.

Rais mengingatkan, walaupun sudah merdeka 54 tahun, sikap masih dibelenggu cara luaran tidak dapat dinafikan kerana dari setiap gugusan kumpulan pelajar boleh dikatakan 50 peratus diasuh di luar negara.

"Jadi pemikiran mereka tergangga atau melopong melihat nilai-nilai sentiasa terbuka. Ini kerana mereka yang pergi ke Mesir atau Timur Tengah akan membawa sikap-sikap keakraban dari Timur Tengah.

"Mereka yang belajar di Amerika terbawa-bawa dengan Hopkins dengan U New York. Mereka yang belajar di Britain pula seperti orang putih, mereka nak bawa sistem sejagat dunia," katanya.

Justeru, apabila mereka pulang ke tanah air, maka akan terikut-ikut dengan dengan budaya luar sehingga lupa budaya dalaman.

"Namun persoalannya, bagaimana negara Singapura dan Korea boleh berjaya. Sebabnya mereka lebih mengenal nilai jati diri berbanding nilai samar-samar.

"Oleh itu kita perlu melalui bimbingan sosial akan datang dengan membawa pembaharuan seperti transformasi seperti yang dianjurkan kerajaan di bawah kepimpinan Najib.

"Kita mesti membawa balik sistem-sistem yang dijaga tinggi nilainya, keislaman misalnya ataupun kita bawa nilai kasar hasil perjuangan di Afghanistan atau perjuangan di Mesir atau perjuangan di pusat pengajian tinggi luaran," katanya.

Rais percaya rakyat yang sedar akan sentiasa terasa bahawa kemerdekaan ke-54 ini merupakan tahun yang mencabar. Di samping itu akan terasa banyak perubahan berlaku khususnya perubahan yang akan mencorak tamadun baru rakyat dan tanah air kita.

"Juga harus saya tekankan bahawa di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib, kemerdekaan ini akan lebih bererti kerana beliau mencetuskan pemikiran dan olahan hidup yang baru menerusi pelbagai program dan projek transformasi yang beliau pimpin untuk jayakan," katanya.

No comments: