Lovely Friend

Sunday, 14 August 2011

Orang Melayu Lupa Diri Nak Mampus

HARI ini genap dua minggu umat Islam berpuasa. Tentunya pengalaman berpuasa pada tahun ini ada bezanya dengan tahun lepas. Manakala tahun depan belum tentu kita dapat melalui pengalaman berpuasa sekali lagi. Panjang atau pendek usia kita takdir yang menentukan.

Yang pasti seawal hari pertama meraikan kedatangan bulan ibadat penuh berkat ini, jualan hari raya heboh di sana-sini. Segala-galanya tentang hari raya. Perabot, langsir, kuih-muih, hiasan diri malah ada juga yang menawarkan harga runtuh untuk kereta raya. Ada juga tawaran pakai dulu bayar kemudian. Yang penting hari raya anda bermakna - selepas beraya baru mulakan ansuran, itu pun kalau poket tidak merana.


Itu baru hari pertama berpuasa. Apa pula iklan yang berkumandang di radio selepas seminggu umat Islam menahan lapar dan dahaga di siang hari? Tentu ramai yang mendengar iklan di corong radio tentang keluhan seorang isteri bimbang tidak dapat beraya di kampung sendiri dan kampung suami. Jawapan si suami - jangan susah hati. Ada bank menawarkan pinjaman peribadi mencecah RM100,000 untuk balik kampung! Bukan satu iklan, ada dua atau tiga iklan nada yang sama. Maknanya, berhutanglah supaya anda boleh balik kampung. Sebab kalau tidak balik kampung bagi kebanyakan orang bukan raya namanya. Penutup iklan, si isteri dan suami gembira kerana ada bank yang boleh membantu mereka mencapai impian balik kampung berhari raya.

Bank-bank nampaknya semakin memahami serta prihatin keperluan orang ramai terutamanya orang Melayu beragama Islam yang ghairah bercakap pasal raya walaupun baru satu hari berpuasa. Tidak hairanlah jika mereka semakin kreatif dan agresif menawarkan pelbagai ‘kemudahan’ yang akhirnya pasti menyusahkan.

Begitu juga dengan pusat beli-belah, syarikat-syarikat serta pelbagai pihak lagi. Mereka membuat tawaran kerana ada permintaan. Jika keghairahan orang Melayu tidak seperti sekarang ini, maka tentunya perihal sambutan hari raya tidak diperkatakan seawal sehari berpuasa. Tentu juga tidak akan ada tawaran-tawaran yang hakikatnya memberi kesenangan singkat kepada pengguna.

Jika dibandingkan dengan satu Ramadan zaman dulu-dulu amat jauh berbeza. Orang tidak bercakap tentang hari raya seawal puasa. Ramadan adalah untuk berpuasa bukan semata-mata untuk membuat persiapan hari raya. Hari raya pula adalah bagi meraikan kejayaan mengharungi segala cubaan dan dugaan sepanjang sebulan berpuasa. Maka tidak sepatutnya menjadi amalan songsang di mana Ramadan menjadi persiapan untuk hari raya tanpa memastikan kesempurnaan berpuasa.

Kebanyakan kita tentu tidak lupa betapa cahaya kegembiraan dan keseronokan melalui bulan Ramadan dulu-dulu yang amat tersendiri biar pun di kalangan kanak-kanak. Gembira kerana Ramadan dapat bertarawih - maknanya dapat bertemu saudara seIslam sekampung setiap malam yang pasti merapatkan lagi silaturrahim.

Ramadan adalah masanya bertukar-tukar juadah sesama jiran kerana ada limpahan rezeki untuk sama-sama dinikmati. Biar pun ringkas namun kemuliaan Ramadan tidak dicemari dengan cakap-cakap mengenai persiapan hari raya sedangkan pengisian Ramadan disisihkan begitu sahaja. Suasana hari raya hanya dirasai 10 hari terakhir berpuasa. Itu pun dengan kerlipan likur pada malam-malam yang dipanggil malam tujuh likur. Persiapan dilakukan dengan cara amat sederhana. Tiada jualan murah melampau di sana-sini, sedangkan kalau diteliti harga sebenarnya, parasnya masih sama pada hari biasa.


Ramadan sekarang ini juga dikaitkan dengan kemeriahan berbuka - tawaran bufet hingga seratus hidangan pada harga yang boleh saja merabakkan poket. Hotel-hotel tidak kira berapa bintang sibuk memenuhi selera orang berpuasa. Restoran-restoran pun begitu. Pasar-pasar Ramadan apatah lagi. Namakan apa saja hidangan - Ramadan adalah masanya untuk membuat pilihan, adakalanya sampai tak terpilih lantaran hidangan yang pelbagai. Maklumlah sehari suntuk menahan lapar dahaga tentu teringin menikmati makanan itu dan ini.

Seolah-olah Ramadan menjadi bulan untuk menikmati hidangan sedangkan anjuran berpuasa supaya umat Islam dapat merasa penderitaan saudara seagama yang tidak sempurna makan dan minum mereka. Berpuasa sebagai peringatan bahawa di Bangladesh, Afghanistan, Somalia, Palestin, Iraq dan negara-negara Islam yang bergolak, ada saudara kita yang berlapar sepanjang tahun. Makan dan minum mereka amat terhad manakala tidur tidak pernah sempat bermimpi lantaran memikirkan keselamatan yang sentiasa terancam.




Orang Melayu Bila Dah Jadi Setengah Mati Begini Baru Nak Insaf Agaknya
Teringin sekali melihat iklan-iklan berbuka puasa lengkap dengan pakej tarawih beramai-ramai, diikuti tadarus dan Qiamullail. Makin besar pakej, mungkin makin tinggi diskaun yang boleh ditawarkan penganjur. Adakah sebagai negara yang Islam menjadi agama penaungnya, kita akan ‘terserempak’ dengan peluang seumpama itu apatah lagi anjuran hotel-hotel lima bintang yang mahu mengambil kesempatan meraikan Ramadan bukan setakat dengan himpunan ratusan hidangan menarik?

Atau trend sambutan Ramadan untuk tahun-tahun seterusnya akan kekal seperti sekarang ini - sehingga menimbulkan persepsi yang tidak betul terhadap umat Islam dan ibadah yang dijalankan. Mungkin akan sampai satu satu peringkat, sensitiviti umat Islam tentang amalan berpuasa tidak dihormati disebabkan tanggapan bahawa ibadah itu sekadar berlapar di siang hari. Juga tanggapan bahawa Ramadan hanya untuk membuat persiapan menyambut hari raya semata-mata.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca

No comments: